PEMULIHAN PSIKOSOSIAL (PSS) DALAM KOMUNITI DI KLINIK KESIHATAN PENDANG

 

Pemulihan psokososial (PPS) adalah satu proses bagi memudahkan dan menggalakkan peluang individu-individu yang kurang upaya akibat penyakit mental, mencapai tahap kefungsian berdikari di dalam komuniti .

Kehilangan kemahiran yang dialami oleh pesakit boleh dipelajari dan kemahiran daya tindak yang baru diperlukan bagi menjalani kehidupan seharian dengan cekap. Proses ini memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk keluarga, rakan-rakan, pesakit lain dan ahli masyarakat.

Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa program penjagaan psikososial dalam komuniti meningkatkan tahap fungsi dan kualiti hidup pesakit serta mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan.

Berlandaskan kajian inilah, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memulakan program PPS dan Klinik Kesihatan (KK) Pendang telah dipilih untuk memula dan menerajui program PPS ini. KK Pendang adalah di antara 3 buah KK di seluruh Malaysia yang pertama menerokai program ini. Klinik-klinik lain adalah KK Pekan Nenas di Johor dan KK Kampung Simee di Ipoh.

Objektif

Untuk membolehkan pesakit mental

  • memahami dan mengawal penyakit mereka sendiri,
  • mencapai tahap kefungsian yang tinggi,
  • membolehkan mereka hidup berdikari.

Sehingga 31 Mac 2002, terdapat seramai 317 orang pesakit mental yang didaftarkan di daerah Pendang. Pesakit-pesakit ini berumur di antara 14 tahun hinggalah 70an. Tahap kefungsian mereka adalah berbeza-beza.

PPS telah dilancarkan dengan rasminya pada 12 Julai 2000, bermula dengan 7 orang klien. Jumlah ini bertambah hingga 20 orang hingga hujung bulan Mac. Manakala 6 orang telah tamat (discharge) menjalani program ini, kerana samada telah pulih, mendapat pekerjaan atau menyambung semula persekolahan.

<< Kembali ke Menu Program Khas | Halaman 1 | 2 | 3 |

Rekabentuk & Konsep Laman Oleh Jawatankuasa Laman Web PKD Pendang.